Pertanyaan |   Direktori  |   Webmail  |   |   |   |   | 


https://www.utusanborneo.com.my/2019/02/11/pasaran-getah-dijangka-meningkat-dengan-permintaan-bertambah-baik

Sumber: Utusan Borneo
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka mencatatkan aliran meningkat minggu depan berikutan permintaan yang bertambah baik terhadap komoditi itu terutamanya daripada pasaran luar negara, kata seorang peniaga.
Beliau berkata bekalan mungkin lebih terhad apabila para peniaga kembali semula selepas bercuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
“Bagaimanapun, kenaikan dihadkan oleh sentimen pasaran yang berhati-hati berhubung prospek penyelesaian rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China, di mana Presiden AS Donald Trump baru-baru ini berkata beliau tidak menjangka bertemu rakan sejawatnya dari China sebelum tarikh akhir 1 Mac.
“AS-China mempunyai masa sehingga permulaan Mac untuk mencapai perjanjian perdagangan. Jika tidak, tarif tambahan ke atas barangan China akan berkuat kuasa. Ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada getah tetapi juga komoditi global lain,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga lain berkata para peniaga juga akan memantau prestasi ringgit, yang ketika ini berada dalam aliran meningkat serta harga minyak mentah.
“Sentimen pasaran getah tempatan juga dijangka sejajar dengan prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau,” katanya.
Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, pasaran agak lengang kerana kebanyakan pelabur masih bercuti dan pasaran ditutup rendah kerana harga minyak yang lemah menjejaskan sentimen pasaran.
Pasaran getah tempatan ditutup pada 5-6 Feb sempena perayaan Tahun Baharu Cina. 
Bagi asas Jumaat ke Khamis, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 turun 10 sen kepada 527.0 sen sekilogram manakala lateks pukal susut empat sen kepada 386.0 sekilogram.
Harga penutup tidak rasmi 5 petang bagi SMR 20 turun 8.5 sen kepada 528.5 sen sekilogram manakala lateks pukal jatuh dua sen kepada 387.0 sen sekilogram. — Bernama