Pertanyaan |   Direktori  |   Webmail  |   |   |   |   | 

mpi

KENYATAAN AKHBAR


KENYATAAN AKHBAR OLEH MENTERI INDUSTRI UTAMA YB TERESA KOK MENGENAI PENJUALAN TANAH DAN PROJEK PEMBANGUNAN LEMBAGA GETAH MALAYSIA (LGM) DI SUNGAI BULOH, SELANGOR YANG DIRAGUI, JUMLAH KAWASAN TANAH MILIK LGM DAN STATUS AKTIVITI R&D DI LGM

Selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri yang menekankan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam Kerajaan Pakatan Harapan yang baharu, sebaik sahaja saya dilantik sebagai Menteri Industri Utama, saya telah mengarahkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk melakukan audit penuh terhadap semua asetnya serta kontrak yang telah dimeterai setakat ini. Saya juga telah mengarahkan kajian penuh dan rombakan terhadap keseluruhan prosedur dan tadbir urus organisasi termasuk aktiviti Penyelidikan & Pembangunan (R&D).

Sehubungan dengan itu, Lembaga Pengarah LGM telah melaporkan perkara berikut kepada saya, iaitu:

1. PENJUALAN SEBAHAGIAN DARIPADA TANAH LGM DI LOT 481 SUNGAI BULOH KEPADA KWASA LAND

Lembaga Pengarah telah dimaklumkan bahawa pada Oktober 2010, Kerajaan terdahulu melalui kelulusan Kabinet telah mengarahkan penjualan kira-kira 2,800 ekar tanah LGM di Sungai Buloh, yang dikenali sebagai Lot 481, kepada Aset Tanah Negara Berhad (ATNB), iaitu sebuah Special Purpose Vehicle, menerusi jualan langsung yang mana LGM secara arbitrari atau sewenang-wenangnya telah dibayar sebanyak RM1.5 bilion sebagai balasan jualan (sale consideration).

Walau bagaimanapun, kini telah diketahui oleh LGM bahawa tanah seluas 2,800 ekar tersebut kemudiannya telah dibeli oleh Kwasa Land (EPF) dengan balasan jualan (sale consideration) berjumlah kira-kira RM2.28 bilion. Maka LGM telah kerugian kerana terdapat perbezaan harga sebanyak RM800 juta.

LGM berpendapat bahawa ia mempunyai hak secara sah ke atas jumlah RM800 juta ini. Jumlah ini masih gagal dikesan sehingga kini. Lembaga Pengarah telah melaporkan transaksi yang meragukan ini kepada Jabatan Audit Negara untuk audit menyeluruh dan siasatan lanjut. Jumlah keseluruhan Lot 481 adalah kira-kira 3,385 ekar dan setelah penjualan 2,800 ekar tanah ini, baki Lot 481 tinggal 585 ekar sahaja.

2. PEMBANGUNAN LIMA FASILITI DI SG BULOH

Kabinet terdahulu, dalam penjualan yang telah dinyatakan tadi, telah memberi kelulusan kepada Lembaga Pengarah LGM ketika itu untuk menggunakan jumlah RM1.5 bilion tersebut untuk membangunkan 585 ekar tanah yang selebihnya. Lembaga Pengarah ketika itu para sekitar tahun 2012/13 memutuskan untuk membina 5 kemudahan merangkumi makmal baru, Menara Pejabat, Muzium, Kemudahan Sukan dan kluster perniagaan melibtakan sebuah Kompleks SEDEC bagi pemindahan teknologi.

Menurut rekod yang ada, secara senyap-senyap Project Deliver Partner (PDP) telah dilantikkan dan bukannya Perunding Pengurusan Projek (Project Managament Consultant) sepertimana telah diputuskan oleh Lembaga. Perkara ini telah dilakukan tanpa kelulusan Lembaga yang sewajarnya.

Pada bulan Februari 2018, Lembaga yang seterusnya secara rasmi telah menamatkan perkhidmatan PDP tersebut. Lembaga Pengarah yang ada sekarang ini, yang dilantik selepas PRU ke-14, telah baru-baru ini menemui beberapa transaksi yang diragui oleh beberapa pegawai LGM dalam pelaksanaan lima fasiliti tersebut. Lanjutan daripada itu, Lembaga Pengarah bertindak dengan membuat laporan kepada SPRM pada 27hb November 2018 akibat pelanggaran prosedur LGM yang telah mengakibatkan kerugian kira-kira RM70 juta kepada LGM. Selain daripada itu, Lembaga juga akan terus mengambil tindakan tata tertib terhadap pegawai-pegawai tertentu di LGM atas perbuatan salah ini.

3. MORATORIUM KE ATAS PEMBANGUNAN SEMUA TANAH MILIK LGM TERMASUK MELALUI USAHASAMA (JV)

Dalam tempoh 70 tahun, Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI) yang ditubuhkan pada tahun 1925 (kini dikenali sebagai LGM sejak 1996), telah memperoleh dan mengumpul jumlah kawasan tanah (land bank) yang besar.

Berikutan saranan saya agar audit keseluruhan dilaksanakan ke atas jumlah kawasan tanah (land bank) termasuk beberapa projek JV yang diluluskan sebelum ini, Lembaga Pengarah yang baharu mendapati bahawa beberapa JV telah dilaksanakan dengan syarat-syarat yang tidak menguntungkan kepada LGM. Saya memandang perkara ini sebagai sesuatu yang serious. Sehubungan dengan itu, Lembaga Pengarah mengisytiharkan moratorium serta-merta ke atas semua aktiviti pembangunan tanah milik LGM.

KENYATAAN MEDIA OLEH PENGERUSI LEMBAGA GETAH MALAYSIA ENCIK SANKARA N. NAIR

4. ROMBAKAN DAN PENYUSUNAN SEMULA LGM SECARA AM

Seiring dengan saranan YB Menteri untuk menjalankan operasi dengan telus, cekap dan objektif, Lembaga Pengarah LGM pada 19hb November 2018 telah mengambil langkah-langkah menyeluruh dan drastik ke arah itu dengan melaksanakan reformasi Lembaga secara menyeluruh.

Jawatankuasa Pengawasan Am yang terdiri daripada Pengerusi dan Ahli Lembaga kanan telah ditubuhkan bersama-sama dengan dua jawatankuasa kecil lain untuk meneliti hal-hal audit/kewangan serta R&D. Antaranya, jawatankuasa tersebut telah bertindak terhadap pelbagai aspek dan kelemahan LGM, termasuk memperbaiki kawalan perakaunan dalaman, meningkatkan pengurusan secara keseluruhan, penyusunan semula jabatan untuk kecekapan, merombak aktiviti penguatkuasaan dan pelesenan, kutipan ses, meningkatkan ketelusan dalam prosedur tender dan penjimatan dalam keseluruhan kos operasi dan lain-lain.

Paling utama, YB Menteri telah menyarankan LGM untuk kembali kepada aktiviti utama sejajar dengan objektif asal dan tujuan penubuhan penyelidikan getah pada tahun 1925 (hampir 100 tahun yang lalu) di bawah akronim - Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI). RRI ditubuhkan semata-mata untuk merintis promosi penyelidikan dan pembangunan getah, yang akhirnya menghasilkan, antara lain, pembangunan teknologi buatan negara seperti SMR, klon getah yang mantap dan sebagainya.

RRI merupakan institut penyelidikan getah terbaik dan amat dihormati di mata dunia. Namun, RRI (kini dikenali sebagai LGM sejak tahun 1996) nampaknya telah hilang kegemilangan dan arahnya. Oleh itu, Lembaga Pengarah yang baharu berhasrat untuk mengembalikan zaman kegemilangan RRI seperti dahulu. Lembaga Pengarah telah menggerakkan pembaharuan yang meluas ke arah ini dan akan melaksanakan apa sahaja yang diperlukan untuk mengembalikan objektif asalnya iaitu R & D yang bermutu tinggi dalam penyelidikan dan pembangunan getah.