Pertanyaan |   Direktori  |   Webmail  |   |   |   |   | 

KENYATAAN MEDIA

YB PUAN TERESA KOK
MENTERI INDUSTRI UTAMA

MAKLUM BALAS TERHADAP “IPG TIDAK BANYAK MANFAAT KEPADA PEKEBUN GETAH” UTUSAN ONLINE, 3 NOVEMBER 2018

1. Kementerian Industri Utama (MPI) mengambil perhatian mengenai kenyataan YB Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu di dalam Utusan Online pada 3 November 2018.

2. Untuk makluman, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) telah diwujudkan bagi meringan beban pendapatan pekebun kecil dan memberi galakan untuk mereka terus menoreh sewaktu harga getah rendah di pasaran. Seramai 450,568 pemilik kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) yang layak memohon IPG sejak tahun 2015. Semenjak diperkenalkan sehingga 31 Ogos 2018, sebanyak 783,877 bilangan permohonan tuntutan telah diluluskan bagi tujuan pengagihan IPG yang melibatkan peruntukan RM90.94 juta.

3. Insentif ini hampir sama dengan konsep harga lantai kerana IPG akan diaktifkan apabila purata harga bulanan SMR 20 pada bulan sebelumnya kurang dari RM5.50 sekilogram atau harga di ladang untuk getah sekerap adalah di bawah RM2.20 sekilogram. Perbezaan harga akan ditampung oleh Kerajaan bagi pengeluaran yang dihasilkan oleh pekebun kecil. Langkah ini akan membolehkan para pekebun kecil getah dengan pemilikan purata 2 hektar dan produktiviti cuplump sebanyak 3,000 kilogram/hektar/tahun menikmati pendapatan bulanan sebanyak RM1,100.

4. Pada masa ini, Kerajaan tidak bercadang untuk menetapkan harga lantai getah sekerap kerana akan melibatkan peruntukan kewangan yang tinggi. Sebagai contoh, sekiranya harga lantai getah sekerap ditetapkan kepada RM4.00 sekilogram dan berdasarkan kepada pengeluaran 2017, Kerajaan akan memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM2.5 billion setahun.

5. Di samping itu, Kerajaan juga tidak dapat mempertimbangkan cadangan mewujudkan harga lantai berdasarkan kepada faktor-faktor berikut:

(i) Penetapan harga lantai memerlukan sumber kewangan yang tinggi bagi menyokongnya sekiranya harga getah asli dunia mengalami tren penurunan yang mendadak;

(ii) Menyediakan ruang kepada aktiviti spekulasi harga dalam kalangan para penjual getah dengan menekan harga ke paras rendah dan mengharapkan Kerajaan akan menampung perbezaan di antara harga pasaran dan harga lantai; dan

(iii) Menyediakan ruang kepada aktiviti penyeludupan getah dari luar negara memandangkan harga tempatan adalah lebih tinggi berbanding dengan harga antarabangsa.

6. Kerajaan turut amat prihatin kepada kebajikan pekebun kecil getah yang banyak bergantung kepada pengeluaran sekerap. Memandangkan harga getah cair/lateks adalah lebih tinggi berbanding sekerap dan menjadi keperluan utama pihak industri, Kerajaan akan memberi fokus dalam menambahbaik kemudahan pengeluaran lateks di seluruh negara. Kerajaan akan memperkasa Pusat-pusat Pengumpulan Getah (PMG) bagi memudahcara proses pengumpulan lateks secara berpusat. Langkah ini diharap dapat meningkatkan pengeluaran lateks dalam negara dan mengurangkan kebergantungan kepada import lateks, sekaligus membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui peralihan daripada pengeluaran sekerap kepada lateks. Di samping itu, di dalam meningkatkan pembangunan industri getah ini, Lembaga Getah Malaysia akan terus membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D), membina infrastruktur dan melaksana pelbagai program termasuk menyediakan insentif ujian tayar dan SMR kepada industri.

-Tamat-

6 November 2018