Pertanyaan |   Direktori  |   Webmail  |   |   |   |   | 

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
MISI EKONOMI DAN PROMOSI SAWIT KE KESATUAN EROPAH (EU) DAN SWITZERLAND
28 SEPTEMBER – 6 OKTOBER 2018

1. YB Puan Teresa Kok, Menteri Industri Utama akan mengetuai Misi Ekonomi dan Promosi Sawit ke Kesatuan Eropah (EU) dan Switzerland pada 28 September hingga 6 Oktober 2018. Delegasi tersebut akan turut disertai oleh pegawai kanan Kerajaan daripada Kementerian Industri Utama, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Majlis Minyak Sawit Malaysia dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia.

2. Misi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia dalam mempromosikan minyak sawit dan produk berasaskan sawit kepada pasaran utama dan pada masa yang sama adalah bagi menangani sentimen anti-sawit di rantau tersebut. Misi ini juga diadakan bertujuan untuk memberikan maklumat yang jelas dan tepat kepada pihak berkepentingan berkenaan dengan EU Directive Energy Renewable II (EU RED II) termasuklah isu-isu mengenai penyahutanan, perubahan penggunaan tanah secara tidak langsung atau indirect land use change (ILUC) dan akses kepada pasaran EU bagi biobahan api daripada sumber minyak sawit.

3. Misi ini akan merangkumi Berne dan Geneva di Switzerland, Madrid di Sepanyol dan Brussels di Belgium.

4. Di Switzerland, YB Teresa Kok akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Ahli Majlis daripada Federal Council of Switzerland dan
akan menyertai Dialog Meja Bulat Minyak Sawit Malaysia di Bern. Beliau juga dijadualkan akan mengadakan sesi minum petang bersama diaspora Malaysia di Swtizerland.

5. Di Geneva, YB Menteri dan delegasi akan bertemu dengan pakar perdagangan dan wakil-wakil daripada negara pengeluar minyak sawit di WTO bagi membincangkan tentang isu dan perkembangan semasa minyak sawit serta potensi jalinan kerjasama antara mereka.

6. Pada tahun 2017, jumlah perdagangan minyak sawit dan produk berasaskan sawit di antara Malaysia dan Switzerland dicatatkan pada RM53.5 juta (USD 12.4 juta). Eksport sawit dan produk berasaskan sawit ke Switzerland pula adalah berjumlah RM25.5 juta (USD 5.9 juta).

7. Di Madrid, Sepanyol, YB Menteri akan memberikan ucaptama di European Palm Oil Conference (EPOC) 2018 dan ucapannya merangkumi perkembangan semasa dasar dan operasi minyak sawit mampan di Malaysia bagi menyokong Sustainable Development Goals (SDGs).

8. YB Teresa Kok juga akan menghadiri Panel Pakar European Palm Oil Alliance (EPOA) dan seterusnya dijadualkan untuk memberikan ucapan kepada ahli Spanish Alliance of Palm Oil dan Spanish Biodiesel Association dalam forum yang berasingan. Sepanyol telah muncul sebagai salah satu pengimport minyak sawit terbesar terutama sekali bagi keperluan tenaga boleh baharu.

9. Selain itu, YB Menteri juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan European Commision dan Council of EU di Brussels bagi membincangkan mengenai perkembangan semasa minyak sawit dan perundangan EU RED II. Potensi jalinan kerjasama antara Malaysia dengan EU juga akan turut dibincangkan dalam mencari penyelesaian untuk semua pihak.

10. Hubungan perdagangan antara Malaysia dengan EU adalah kukuh, terutama sekali bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit
yang dicatatkan pada RM11.46 bilion (USD 2.67 bilion) pada tahun 2017. Pada tahun tersebut, nilai keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia dan produk berasaskan minyak sawit ke EU adalah RM11.03 bilion (USD 2.57 bilion) iaitu meningkat sebanyak 7.5% berbanding RM10.26 bilion (USD 2.46 bilion) pada tahun sebelumnya.

Kementerian Industri Utama Malaysia
28 September 2018