faq |  contact |  complaints |sitemap      sawit

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA (MPI)

SKIM PINJAMAN MUDAH TANAM SEMULA PEKEBUN KECIL SAWIT (TSPKS) DAN SKIM PINJAMAN MUDAH INPUT PERTANIAN PEKEBUN KECIL SAWIT (IPPKS)
OLEH YB MENTERI INDUSTRI UTAMA
29 JULAI 2019

1. Pada masa ini, seluas 324,597 hektar kawasan tanaman sawit mempunyai profil umur pokok melebihi 25 tahun dan tidak lagi produktif. Hasil produktiviti sawit yang rendah akan menjejaskan pendapatan pekebun kecil. Justeru, bagi membantu pekebun kecil sawit, Kerajaan telah menyediakan Skim Pinjaman Mudah bagi tanam semula dan input pertanian pada kadar faedah 2% setahun dengan perincian seperti berikut:

 Bil   Jenis Skim Dana  
 i.  Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS)   RM500 juta
 ii.   Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS)  RM50 juta
   Jumlah  RM550 juta

2. Skim-skim pinjaman tersebut adalah untuk membantu meringankan beban kewangan pekebun kecil persendirian bagi melaksanakan penanaman semula sawit dan membantu memperoleh input pertanian dengan penggunaan benih yang disahkan serta baka yang berkualiti. Selain itu, skim ini juga dapat membantu pekebun kecil untuk meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS) dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit.

3. Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM500 juta, skim TSPKS dijangka dapat memanfaat seramai 7,000 hingga 10,000 orang pekebun kecil dengan anggaran keluasan tanaman berjumlah 50,000 hektar.

4. Bagi Semenanjung, nilai pinjaman adalah RM10,000 sehektar dan had maksimum keluasan adalah 6.5 hektar atau RM65,000 sahaja. Bagi Sabah dan Sarawak, nilai pinjaman adalah RM14,000 sehektar dan had maksimum keluasan adalah 6.5 hektar atau RM91,000 sahaja. Tempoh pinjaman skim TSPKS adalah sehingga 12 tahun termasuk tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bagi 4 tahun pertama.

5. Bagi skim IPPKS pula, dengan peruntukan sebanyak RM50 juta, dijangkakan seramai 3,000 hingga 5,000 pekebun kecil sawit dengan anggaran keluasan berjumlah 20,000 hektar akan memperoleh manfaat.

6. Nilai pinjaman IPPKS adalah tidak melebihi RM2,500 sehektar dan had maksimum keluasan adalah 6.5 hektar sahaja atau RM16,250 sahaja. Tempoh pinjaman adalah sehingga 24 bulan sahaja.

7. Dalam hal ini, Kementerian Industri Utama telah menyediakan skop pinjaman, syarat permohonan, syarat pelaksanaan, proses kerja, senarai jawatankuasa, agensi pelaksana dan peruntukan bagi melaksanakan skim pinjaman ini.

8. Syarat permohonan Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) adalah seperti di Lampiran.

9. Untuk makluman, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) adalah agensi pelaksana dan Agrobank telah dilantik sebagai institusi pembiaya bagi menguruskan kedua-dua skim tersebut. Pekebun kecil boleh memohon skim-skim ini mulai 15 Ogos 2019.

10. Pelaksanaan skim-skim ini adalah selaras dengan usaha Kerajaan untuk mengukuhkan komoditi sawit dan memartabatkan industri sawit di mata dunia

Sayangi Sawitku!

Kementerian Industri Utama
29 Julai 2019

LAMPIRAN

Syarat permohonan Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS)

i. Warganegara Malaysia berumur 18 tahun hingga 58 tahun pada tarikh permohonan.

ii. Skim ini hanya terbuka kepada pekebun kecil persendirian sahaja. Definisi pekebun kecil adalah mempunyai pemilikan tanah yang tidak melebihi 40.46 hektar atau 100 ekar. Walau bagaimanapun, had maksimum pinjaman adalah 6.5 hektar sahaja.

iii. Memilik lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi aktiviti menjual dan mengalih BTS.

iv. Menunjukkan bukti pemilikan atau penguasaan tanah yang sah mengikut undang-undang dan peraturan pihak berkuasa tanah negeri masing-masing.

v. Syarat tanah adalah untuk tanaman sawit atau pertanian atau tiada sekatan untuk tanaman sawit.

vi. Kawasan tanaman adalah sesuai seperti kecerunan kurang daripada 25 darjah, bukan kawasan air bertakung dan mempunyai akses untuk pengeluaran dan jualan hasil sawit.

vii. Peneroka yang tidak lagi bersama agensi (FELDA, FELCRA, RISDA, SLDB) layak memohon skim ini.

viii. Pekebun kecil persendirian yang kebun diurus oleh agensi (RISDA, JAKOA) layak memohon.

ix. Bagi skim TSPKS, pekebun kecil mempunyai tanaman sawit berumur melebihi 25 tahun atau sudah tidak lagi produktif.

x. Bagi skim IPPKS, pekebun kecil mempunyai tanaman sawit berumur tidak melebihi 25 tahun.

xi. Penerima skim TSPKS adalah tidak layak untuk memohon skim IPPKS.

xii. Penerima skim IPPKS adalah tidak layak untuk memohon skim TSPKS.