faq |  contact |  complaints |sitemap      sawit

KENYATAAN MEDIA

PAMERAN PRODUK KOKO
BANGUNAN UTAMA PARLIMEN
4 JULAI 2019 (KHAMIS)

1. Kementerian Industri Utama mengadakan Pameran Produk Koko di Bangunan Utama Parlimen pada 4 Julai 2019 (Khamis) dalam usaha mempromosikan produk agrikomoditi khususnya produk berasaskan koko dalam kalangan pihak berkepentingan.

2. Pameran sehari ini bertujuan memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia mengenai kebaikan dan khasiat produk berasaskan koko tempatan dan seterusnya meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap produk koko buatan tempatan khususnya yang dibangunkan menggunakan teknologi Lembaga Koko Malaysia.

3. Sektor koko secara khusus telah menyumbang sebanyak RM5.55 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun 2018. Destinasi eksport koko dan produk berasaskan koko Malaysia meliputi 128 buah negara dan Singapura, Indonesia, Jepun, Amerika Syarikat dan China merupakan pasaran utama.

4. Dalam tempoh 2011 sehingga tahun 2018, sumbangan sektor koko kepada KDNK telah menunjukkan peningkatan pada kadar purata tahunan sebanyak 4.6% setahun. Pada tahun 2018, sektor koko menyumbangkan sebanyak RM 1,441 juta kepada KDNK. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 4.6% berbanding RM 1,377 juta pada tahun sebelumnya. Sektor koko menyumbang sebanyak 0.1% kepada KDNK negara.

5. Perkembangan positif ini didorong khususnya oleh pembangunan pesat industri hiliran koko merangkumi produk coklat, makanan, farmaseutikal dan kosmetik. Produk berasaskan koko seperti coklat, lemak koko, serbuk koko dan pes koko di Malaysia mempunyai liputan pasaran yang luas dan diterima baik oleh pengguna peringkat antarabangsa. Nilai eksport coklat khususnya adalah sebanyak RM1.03 bilion pada 2018 iaitu peningkatan sebanyak RM162.42 juta atau 18.7% berbanding tahun 2017 sebanyak RM868.60 juta.

6. Pameran sedemikian ini dapat menjana pertumbuhan pelaburan baharu dalam sektor pembuatan produk koko khususnya coklat dan konfeksi koko dan seterusnya meningkatkan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Justeru itu, hasrat Malaysia menjadi King of Chocolate di rantau Asia dapat direalisasikan. 

Malaysian Cocoa, Naturaly Nutritious
Koko Malaysia, Khasiatnya Sejati

Kementerian Industri Utama
4 Julai 2019