faq |  contact |  complaints |sitemap      sawit

KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
PERJANJIAN PENANAMAN SATU JUTA POKOK HUTAN DI SABAH
ANTARA MAJLIS MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOC) DAN JABATAN PERHUTANAN SABAH (JPS)

1. Pada hari ini, YB Teresa Kok, Menteri Industri Utama dan YB Datuk Christina Liew, Timbalan Ketua Menteri Sabah telah menyaksikan satu perjanjian dimeterai di antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) yang diwakili oleh Datuk Dr Kalyana Sundram, Ketua Pegawai Eksekutif dan Datuk Mashor Mohd Jaini, Ketua Konservator Hutan mewakili Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) dan bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah.

2. Perjanjian ini adalah bagi menzahirkan hasrat MPI bekerjasama dengan JPS untuk menanam 1 juta pokok hutan di Lower Kawag iaitu sebahagian dari Kawasan Hutan Simpan Ulu Segama Malua.

3. Inisiatif ini adalah susulan daripada kempen Sayangi Sawitku yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 24 Mac 2019. Inisiatif tersebut telah dilancarkan bagi menangkis serangan kempen anti minyak sawit yang mengancam industri sawit terutamanya kepada golongan pekebun kecil yang melebihi setengah juta orang.

4. Menyedari kepentingan berkaitan peranan industri sawit di Malaysia, kempen ini diharap dapat menanam sikap bangga kepada negara dan lebih menghargai minyak sawit Malaysia dengan tumpuan kepada kepentingan sosio-ekonomi, kesihatan, nutrisi, penggunaan sebagai bahan makanan dan bukan makanan.

5. Penanaman 1 juta pokok telah dikenal pasti sebagai salah satu program di bawah kempen Sayangi Sawitku yang melibatkan aktiviti perhutanan semula. Program ini menyasarkan penanaman sebanyak 1 juta pokok spesis hutan dalam tempoh 10 tahun. MPI dan JPS telah mengenal pasti kawasan seluas 2,500 hektar hutan terosot di Lower Kawag, Hutan Simpan Ulu Segama Malua sebagai permulaan bagi program penanaman semula hutan.

6. MPOC telah diberi peranan untuk menerajui penanaman semula pokok spesies hutan dengan kerjasama JPS. Peruntukan bagi program ini akan disumbangkan oleh industri sawit Malaysia dan lain-lain pembiayaan yang diterima melalui MPOC sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat dan sosial industri.

KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
2 JULAI 2019