faq |  contact |  complaints |sitemap      sawit

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA

MAJLIS PELAKSANAAN PROGRAM B7 UNTUK SEKTOR INDUSTRI
29 JUN 2019
AUDITORIUM LEMBAGA PELABUHAN BINTULU, SARAWAK

1. Kerajaan akan melaksanakan program biodiesel B7 (adunan 7% biodiesel sawit dan 93% diesel petroleum) pada sektor industri secara mandatori bermula 1 Julai 2019.

2. Kerajaan telah melaksanakan program B10 (adunan 10% bioidesel sawit dan 90% diesel petroleum) untuk sektor pengangkutan secara mandatori pada 1 Februari 2019. Sehingga kini, tiada masalah dilaporkan.

3. Pembekalan B7 diesel untuk sektor industri adalah melalui syarikat-syarikat petroleum seperti Petronas, Shell, Petron, BHP dan Chevron dengan menggunakan kemudahan pengadunan biodiesel sawit secara in-line.

4. Melihat kepada harga minyak sawit yang rendah pada masa kini, ini adalah masa terbaik untuk Malaysia meningkatkan penggunaan biodiesel menerusi pelaksanaan B7 di sektor industri.

5. Pelaksanaan program biodiesel akan mewujudkan impak positif dalam pengurangan stok minyak sawit serta meningkatkan ekonomi Malaysia yang akan memberi manfaat kepada pekebun kecil.

6. Penggunaan biodiesel sawit (B7) di sektor industri akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 681,000 tan karbon dioksida (CO2) setara setahun dengan menggunakan 227,000 tan minyak sawit setahun.

7. Enjin diesel yang digunapakai oleh sektor industri adalah lebih tahan lasak (robust) berbanding enjin diesel automotif yang telah menggunakan adunan 10% biodiesel sawit (B10). Penjana elektrik kecil (genset) kebanyakannya boleh menerima adunan biodiesel sehingga B20. Dandang yang biasa digunakan bagi penghasilan stim untuk pengoperasian kilang boleh menggunakan biodiesel sehingga 100%.

8. Kementerian melalui MPOB telah menjalankan ujian dan percubaan penggunaan B10 dan B20 bagi jentera-jentera ladang, penjana elektrik kecil, dandang, enjin kapal laut serta forklift semenjak tahun 2013 tanpa sebarang masalah. Usaha ini melibatkan kerjasama antara MPOB dengan syarikat-syarikat swasta seperti FGV, SOP Green Energy, Sime Darby Oils dan sebagainya.

9. Sebagai usaha untuk menyampaikan maklumat teknikal dan kesedaran kebaikan penggunaan biodiesel sawit, MPOB bersama dengan FMM telah mengadakan beberapa siri seminar penggunaan B7 untuk sektor industri kepada syairkat-syarikat yang terlibat. Seminar penggunaan B7 untuk sektor industri bagi Sarawak turut akan diadakan di Bintulu pada 29 Jun 2019.

10. Indonesia telah melaksanakan program B20 untuk sektor bersubsidi bermula pada Januari 2016 dan program biodiesel B20 ini telah diperluaskan ke sektor industri bermula Oktober 2018. Sehinggga kini, tiada masalah teknikal dilaporkan. Malah, Indonesia menuju ke arah penggunaan B30 pada 2019.

11. Secara keseluruhan, pelaksanaan program biodiesel B10 di sektor pengangkutan dan B7 di sektor industri akan menggunakan 760,000 tan biodiesel sawit setahun. Ini dijangka akan menjimatkan pertukaran wang asing bagi pengimportan diesel sebanyak RM1.64 bilion setahun.