faq |  contact |  complaints |sitemap      sawit

KENYATAAN MEDIA
MAJLIS PERASMIAN KILANG PHYTONUTRIENTS MILIK SARAWAK OIL PALMS BERHAD (SOP) 

YB TERESA KOK MENTERI INDUSTRI UTAMA

29 JUN 2019
SOP COMPLEX, BINTULU, SARAWAK

1. Menteri Industri Utama, YB Puan Teresa Kok hari ini telah merasmikan pembukaan kilang phytonutrients milik Sarawak Oil Palms Berhad (SOP) yang menghasilkan kerotin sawit dan vitamin E sawit (tocopherol dan tocotrienols) yang menggunakan teknologi MPOB .

2. Pada 2014, SOP Green Energy Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian bersama Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi pengkomersialan palm phytonutrients dengan penggunaan teknologi ciptaan MPOB yang menghasilkan kerotin sawit dan vitamin E sawit. Kerajaan juga telah membantu dalam pemberian dana kepada SOP Green Energy untuk memajukan sektor hiliran berasaskan produk sawit ini. Kilang phytonutrient milik SOP Green Energy Sdn Bhd merupakan kilang berintegrasi pertama di Sarawak yang menjalankan aktiviti hiliran berkaitan produk sawit. Di Malaysia, terdapat tujuh (7) kilang phytonutrient termasuklah milik SOP Green Energy Sdn Bhd. Kilang tersebut mula beroperasi sejak 2017 dan terletak di SOP Bintulu Downstream Complex di Kidurong Industrial Estate, Sarawak.

3. Kilang SOP Green Energy Phytonutrients menghasilkan pelbagai bahan semulajadi seperti vitamin E sawit (tocotrienols, jenama T3E) dan kerotin sawit (tocopherol, jenama Caro-A). Kedua-dua bahan tersebut adalah mematuhi peraturan Food and Drug Administration (FDA) dan telah digunakan di dalam produk farmaseutikal, pewarna makanan semula jadi, makanan haiwan, makanan tambahan dan kosmetik.

4. Kerotin sawit dapat membantu dalam penghasilan pro-vitamin A, memberi perlindungan kepada kesan kardiovaskular dan agen anti barah. Manakala bagi vitamin E sawit, ianya juga berperanan sebagai agen anti-barah, anti-angiogenesis, anti-oksida, anti-arterosclerosis, anti-penuaan, melindungi dari serangan kardiovaskular dan membantu dalam rawatan diabetes.

5. Kementerian melalui kepakaran MPOB telah menjalankan beberapa ujian klinikal bersama-sama pusat kanser dan institut kajian di negara ini menggunakan vitamin E sawit. Ini termasuklah ujikaji ke atas neuro-protection, rawatan kanser payudara, kanser prostat, kancer kolon, serangan kardiovaskular dan banyak lagi.

6. SOP Berhad sentiasa menumpukan kepada mempertingkat lebih banyak aktiviti bernilai tambah kepada rantaian bekalannya dan berusaha untuk meningkatkan pengeluaran dalam segmen hiliran serta mengembangkan dan mengukuhkan posisi mereka di pasaran antarabangsa.

7. Kementerian amat menggalakan lebih banyak penglibatan daripada pemain industri sawit untuk melabur dalam aktiviti hiliran terutamanya aktiviti bernilai tambah dalam rangkaian produk sawit. Melalui penglibatan ini, ianya akan memacu industri sawit daripada hanya menumpu kepada aktiviti huluan dan aktiviti pertengahan yang bersifat tradisional agar industri sawit dapat terus kekal bersaing di dalam pasaran antarabangsa.

Kementerian Industri Utama
29 Jun 2019