faq |  contact |  complaints |sitemap      sawit

INISIATIF BAHARU SETAHUN PENTADBIRAN
YB PUAN TERESA KOK MENTERI INDUSTRI UTAMA (MPI)

PENDAHULUAN

1. Salam sejahtera kepada semua yang hadir di taklimat media ini sempena setahun pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan yang komited dan berintegriti.

2. Saya dilantik pada Julai 2, 2018 dan telah diberikan suatu amanah dan kebertanggungjawaban dalam menggalas dan menerajui Kementeran Industri Utama yang menggantikan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

3. Dalam hal ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerana memberi saya ruang dan peluang untuk memastikan kelangsungan kementerian yang menjaga industri komoditi utama negara.

4. Saya bersama Timbalan Menteri, YB Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin telah melaksanakan pelbagai pembaharuan kementerian, terutama memastikan keseluruhan rantaian nilai dari peringkat huluan hingga hiliran komoditi negara kekal sebagai sektor penyumbang utama kepada pendapatan eksport negara.

5. Dalam tempoh setahun ini, saya berani katakan empat fokus utama yang pernah saya canangkan pada awal pelantikan saya sebagai Menteri iaitu;

a) Meningkatkan kecekapan perkhidmatan, terutama pendekatan mesra pelabur dan mesra perniagaan.

b) Memelihara kebajikan rakyat (pekebun kecil, pengusaha ladang, pengilang dan pekerja industri komoditi).

c) Mengukuhkan pasaran komoditi.

d) Memantapkan industri hiliran.

6. Semua yang saya sebutkan ini telah menampakkan suatu pembaharuan luar biasa selari dengan manifesto kerajaan, “Membina Negara, Memenuhi Harapan” yang memperlihatkan sebagai pentadbiran kerajaan yang baharu, kita sudah mula membuktikan urus tadbir yang berintegriti, telus dan amanah diterima dengan baik oleh rakyat dan negara.

7. Saya mengakui cabaran dalam tempoh setahun ini menerajui Kementerian Industri Utama adalah satu pengalaman yang memberi saya persepsi yang positif dalam memastikan empat fokus utama yang dikenal pasti dapat diterjemahkan secara terancang.

URUS TADBIR YANG BAIK, PEMANGKIN KEPADA URUS TADBIR YANG EFEKTIF

9. Sepanjang satu tahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, saya melihat peranan Kementerian Industri Utama telah meletakkan satu imbangan yang baik, terutama membolehkan, di bawah kementerian ini, komoditi terus menjadi penyumbang ekonomi kepada negara dan para pekebun kecil yang berkecimpung dalam sektor agrikomoditi.

10. Saya melihat elemen nilai amat penting dalam pengurusan sesebuah governan atau urus tadbir sesebuah negara yang mana apabila ada nilai baik dalam urus tadbir itu, maka ia akan menghasilkan tadbir urus yang berkesan atau efektif.

11. Dalam hal ini, terdapat indikator-indikator yang saya dan timbalan menteri saya terapkan dalam urus tadbir kementerian sejak setahun lalu iaitu penyertaan, peranan perundangan, ketelusan, proaktif, kesepakatan, kesamarataan, efektif dan efisien serta akauntabliti dan visi strategik.

12. Sebagai menyokong indikator-indikator yang saya sebutkan tadi, mari kita lihat satu persatu pembaharuan dan inovasi yang berani telah dilaksanakan dalam sektor-sektor komoditi negara.

SEKTOR SAWIT

13. Sejak tahun lepas, Kementerian Industri Utama telah meletakkan fokus atau penekanan baru dan utama kepada kelestarian industri sawit. Kita telah melipat gandakan usaha untuk memastikan setiap rantaian nilai dalam industri mencapai pensijilan mandatori Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) menjelang 1 Januari 2020.

14. Walaupun ini adalah satu cabaran besar, kita meneruskan usaha dengan mengadakan siri Jelajah MSPO di kawasan bandar, luar bandar dan daerah untuk melibatkan para pekebun kecil, pihak industri dan kilang-kilang menerusi program kesedaran awam dan latihan ini MSPO.

15. Kementerian saya juga telah menetapkan beberapa dasar baharu di bawah Program Kelestarian Sawit Malaysia tahun ini iaitu:

a) Menghadkan keluasan tanaman sawit negara kepada 6.5 juta hektar yang dijangka dicapai menjelang tahun 2023.

b) Melaksanakan larangan penanaman baharu sawit di kawasan tanah gambut dan menetapkan syarat yang lebih ketat terhadap tanaman sawit yang sedia ada di kawasan ini.

c) Melaksanakan larangan penukaran guna tanah Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi aktiviti penanaman sawit atau tanaman pertanian lain dan

d) Menyediakan peta rasmi kawasan tanaman sawit di seluruh negara untuk capaian umum dan rujukan awam bagi meningkatkan ketelusan maklumat.

e) Walaupun cadangan ini memerlukan kelulusan kerajaan negeri, namun kementerian saya telah menunjukkan political will (kehendak politik) untuk menetapkan dasar ini melalui keputusan Kabinet, selepas mengadakan beberapa perbincangan dengan kerajaan negeri untuk mendapat persetujuan tersebut secara bersama. Kita melihat hal ini adalah penting demi memastikan industri sawit terus mampan dan tumpuan diberikan keutamaan kepada penggunaan teknologi dan peningkatan produktiviti.

16. Di bawah Pakatan Harapan, Kementerian ini juga telah mengambil suatu inisiatif kepimpinan (take the lead) untuk mengubah imej industri sawit daripada aktiviti yang dituduh sebagai penyebab pemusnahan alam sekitar menerusi pelaksanaan aktiviti-aktiviti pemuliharaan hutan dan binatang liar. Kita mengakui ada perkara yang tidak betul mungkin telah berlaku di masa yang lampau, tetapi kini kita akan terus berusaha memastikan industri sawit berkembang secara mampan dan ini penting untuk menangkis tuduhan-tuduhan terhadap industri sawit.

17. Kementerian saya telah melancarkan Projek Penanaman Satu Juta Pokok bagi kawasan tanah terosot (degraded) di Sabah pada 30 Mac 2019, melibatkan aktiviti-aktiviti berikut:

a) Melibatkan syarikat-syarikat sawit di Kinabatangan, Sabah.

b) Mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Hutan Sabah yang menyediakan kawasan tanah terosot seluas 6,600 hektar di Lower Kawag, Ulu Segama-Malua Forest Reserve.

c) Surat Niat (letter of intent) telah dikeluarkan oleh Malaysian Palm Oil Council (MPOC) kepada Jabatan Hutan Sabah pada 2 April 2019 sebagai komitmen kementerian untuk melaksanakan projek ini. Ia akan disusuli dengan satu perjanjian kerjasama yang akan ditandatangani antara kedua pihak pada tahun ini.

d) Mewujudkan sebuah Tabung Dana Projek Penanaman Satu Juta Pokok yang diselenggarakan oleh MPOC dengan dana permulaan RM2 juta sumbangan Malaysian Timber Council (MTC). Syarikat-syarikat sawit di seluruh negara akan diminta untuk menyumbang kepada tabung tersebut, manakala pihak-pihak lain yang berminat turut digalakkan untuk memberi sumbangan bagi menjayakan projek ini.

e) Selain itu, sempena lawatan ke Sabah, Kementerian melalui agensinya MPOC dan MTC juga telah memberi sumbangan RM1.5 juta kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk melaksanakan projek “Bornean Orang Utan and Pygmy Elephant Population Survei and Conservation”.

f) Mewujudkan koridor laluan hidupan liar untuk Orang Utan dan gajah di Sungai Kinabatangan dan ini membabitkan bersama dengan syarikat-syarikat yang mempunyai ladang sawit di kawasan berhampiran dan

g) Mendokumentasikan aktiviti di bawah projek ini bagi menunjukkan bukti kepada masyarakat dunia khususnya di Eropah bahawa Malaysia mengamalkan penanaman sawit secara lestari dengan melindungi hutan dan hidupan liar serta mengambil tanggungjawab untuk memulihkan hutan terosot di kawasan berhampiran.

18. Usaha ini adalah satu tanggungjawab sosial syarikat-syarikat sawit khususnya dan Malaysia amnya bagi mengekalkan 50 peratus kawasan hutan di Malaysia demi untuk kesejahteraan sejagat.

Program Biodiesel dan Biojet Sawit

19. Di bawah program Biodiesel dan Biojet pula, kementerian telah melaksanakan satu pendekatan inovatif dengan peningkatan penggunaan biodiesel sawit mesra alam melalui Program B10 (adunan 10% biodiesel sawit dan 90% diesel petroleum) bagi sektor pengangkutan bermula 1 Februari 2019 lalu. Manakala Program B7 diperkenalkan bagi sektor industri bermula 1 Julai 2019.

20. Rancangan peningkatan biodiesel ini sebenarnya telah ditangguh sejak tahun 2016 tetapi sejurus kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran, kita telah memastikan ia dilaksanakan dengan segera demi menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan juga meningkatkan penggunaan minyak sawit negara.

21. Kedua-dua program ini dijangka akan menggunakan sebanyak 761,000 tan minyak sawit setahun. Malahan kementerian sedang membuat persiapan untuk melaksanakan program B20/B30 seawal tahun 2020 dan satu sesi kerjasama dengan pihak berkepentingan industri dan Kementerian seperti MITI dan MOT sedang giat dijalankan.

22. Dalam hal ini, kementerian saya sedang berunding dengan MITI untuk memasukkan spesifikasi kenderaan yang “B20/B30 - ready” dalam Dasar Otomotif (NAP).

23. Saya ingin memaklumkan bahawa kita sedang membuat persiapan untuk menghasilkan biobahan api sawit bagi industri penerbangan. Ini adalah bagi memenuhi komitmen sebagai anggota International Civil Aviation Organisation (ICAO) untuk menerima pakai dan melaksanakan Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation (CORSIA) yang bertujuan untuk menangani pelepasan CO2 bagi sektor penerbangan antarabangsa.

24. Ini satu pendekatan inovatif dan mesra kepenggunaan. Selari dengan komitmen menyokong kelestarian alam sekitar berdasarkan regulasi CORSIA, syarikat penerbangan yang menghasilkan CO2 melebihi 10,000 tan setahun perlu melaporkan data pelepasan karbon mulai Januari 2019 untuk pemantauan.

25. Regulasi ini akan diwajibkan kepada semua penerbangan antarabangsa mulai tahun 2027. Penggunaan biojet sawit telah diterima oleh CORSIA sebagai salah satu inisiatif untuk pengurangan pelepasan karbon.

Komunikasi Bersepadu Menangani Kempen Anti-Sawit

26. Dalam tempoh setahun ini, antara cabaran utama yang saya berdepan adalah menangani kempen anti-sawit. Sebagai Menteri yang diberikan amanah dan tanggungjawab, serta sebagai seorang rakyat Malaysia yang sayangkan negara, saya menerusi kementerian ini telah berjaya mendapat kerjasama daripada ahli-ahli Jemaah Menteri untuk menangani kempen anti-sawit terutama yang datang dari Kesatuan Eropah (EU).

27. Dalam soal ini, ia bukan hanya terhad kepada bidang kuasa Menteri Industri Utama sahaja kerana ia sudah melibatkan isu global. Kepimpinan negara dan seluruh rakyat Malaysia perlu mempertahankan dan membanteras gerakan kempen anti-sawit oleh negara-negara maju khususnya dari EU.

28. Saya berterima kasih di atas pendekatan komunikasi bersepadu ini, ahli-ahli Jemaah Menteri yang mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat atau menghadiri mesyuarat di peringkat antarabangsa akan sentiasa membangkitkan isu berkaitan diskriminasi ke atas industri sawit negara, dan pada masa yang sama turut membetulkan tanggapan salah serta negatif terhadap produk sawit dan Malaysia.

29. Saya berbangga kerana ahli-ahli Kabinet turut menyuarakan sokongan bantahan secara kolektif terhadap tindakan diskriminasi EU untuk mengharamkan minyak sawit dan mempertahankan komoditi kita daripada langkah perdagangan EU yang tidak adil ini dan dimanipulasikan kononnya sebagai usaha perlindungan alam sekitar.

Kempen Sayangi Sawitku

30. Kementerian saya juga telah menganjurkan kempen Sayangi Sawit Malaysia Peringkat Nasional sepanjang tahun 2019, yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri sendiri.

31. Objektif Kempen Sayangi Sawitku adalah untuk meningkat kesedaran awam mengenai peranan industri sawit kepada sosio-ekonomi negara, kegunaan minyak sawit yang versatile serta kebaikan dan khasiat minyak sawit.

32. Kita percaya usaha kita untuk menolak kempen anti-sawit hanya akan berjaya sekiranya rakyat Malaysia percaya kepada dan menghargai minyak sawit Malaysia.

a) Kempen ini telah mula mencetuskan minat dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengenali kebaikan dan nutrisi minyak sawit. Apa yang kita hendak sampaikan adalah bahawa minyak sawit Malaysia adalah bertaraf lima bintang. Ini bermakna ia dihasilkan secara mampan, dipersijilkan, bersih, berkualiti dan mempunyai banyak khasiat.

33. Sebagai menyokong Kempen Sayangi Sawitku dan menolak Kempen Anti-Sawit ini, pengukuhan kerjasama antarabangsa turut diperkasakan seperti;
a) Menggerakkan usaha secara bersepadu di bawah Council of Palm Oil Producing Countries (CPOPC) yang turut dianggotai oleh Indonesia dan Colombia untuk menangani isu-isu berkaitan industri sawit, terutamanya tekanan dan kempen anti-sawit yang digerakkan oleh EU.

b) Menghantar pasukan khas yang dianggotai oleh Malaysia, Indonesia dan Colombia ke Brussels, Belgium bagi mengemukakan secara rasmi pandangan, bantahan dan pendirian negara-negara pengeluar sawit terhadap draf Delegated Act di bawah Renewable Energy Directive II yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU Commission) yang mana sawit diklasifikasikan sebagai tanaman yang mempunyai kadar Indirect Land Use Change (ILUC) berisiko tinggi.

c) Mendapat kerjasama negara-negara ASEAN untuk menangguhkan keputusan berhubung naik taraf hubungan antara ASEAN dan EU ke taraf “Strategic Partnership” berikutan diskriminasi EU kepada industri sawit. Menteri-Menteri Luar EU dan ASEAN pada 21 Januari 2019 telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bagi Minyak Sawit di Antara Negara EU dan Negara-Negara Anggota ASEAN.

34. Malaysia sebenarnya mempunyai banyak pilihan dalam pengukuhan pasaran sedia ada dan pasaran baharu. Umpamanya tiga buah syarikat China telah menandatangani dokumen hasrat pembelian dengan empat buah syarikat Malaysia bagi mengimport sebanyak 1.62 juta tan minyak sawit bernilai RM3.64 bilion tahun ini.

35. Persetujuan ini adalah susulan lawatan kerja saya ke China dalam usaha kementerian meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia ke negara China pada bulan Ogos 2018.

36. Saya juga hendak memaklumkan bahawa Malaysia akan menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan China pada hari ini (25 April 2019) untuk meningkatkan dagangan sawit dan pelaburan pihak China dalam industri sawit Malaysia. MoU ini berkaitan dengan komitmen China untuk tambahan import minyak sawit Malaysia berjumlah 1.9 juta tan atau dengan anggaran nilai RM4.56 billion dalam tempoh 5 tahun bermula tahun 2019.

37. Di samping mengukuhkan pasaran sawit sedia ada, kementerian telah mengambil langkah mengenal pasti pasaran-pasaran baharu yang berpotensi seperti di negara-negara benua Afrika, Timur Tengah dan Eropah Timur.

SEKTOR GETAH

38. Selain sektor sawit, satu lagi sektor komoditi utama negara adalah sektor getah. Dalam memperkukuhkan sektor getah, kementerian telah melaksanakan proses pemantapan institusi Lembaga Getah Malaysia (LGM).

39. Antara yang diberi dan dikembalikan tumpuan LGM adalah kepada pembangunan industri getah dan pusat penyelidikan serta pembangunan (R&D). Dalam hal ini, LGM tidak lagi memberi keutamaan kepada pembangunan hartanah. Moratorium telah dikuatkuasakan ke atas LGM untuk tidak meneruskan sebarang aktiviti berkaitan pembangunan hartanah.

40. Kalau kita sebut hal getah, perkara paling penting dibangkitkan adalah soal penstabilan harga getah. Kementerian telah melaksanakan Agreed Export Tonnage Scheme (AETS) ke-6 bermula 1 April 2019 bersama dengan Indonesia dan Thailand di bawah kerangka International Tripartite Rubber Council (ITRC) selama empat bulan bagi mengurangkan lambakan getah di pasaran global dalam usaha untuk menstabilkan harga pasaran.

41. Sejak pengumuman AETS ke-6 oleh ITRC, paras harga Standard Malaysia Rubber 20 (SMR20) Free On Board (FOB) telah meningkat sebanyak 3.3% dari RM5.99 sekilogram pada 1 Mac 2019 kepada RM6.19 sekilogram pada 23 April 2019.

42. Dalam masa yang sama, paras pengaktifan getah asli (SMR20) di bawah skim IPG telah ditingkatkan daripada RM5.50 sekilogram kepada RM6.10 sekilogram manakala cuplump daripada RM2.20 sekilogram kepada RM2.50 sekilogram bermula 1 Januari 2019 dalam memastikan kebajikan pekebun kecil getah terus mendapat perhatian utama.

43. Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta pada tahun 2019 bagi pembinaan dan penyelenggaraan jalan berasaskan getah sekerap bagi meningkatkan penggunaan getah domestik dan secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

SEKTOR KAYU KAYAN

44. Dalam program Pembangunan Industri Buluh, sebenarnya buluh dilihat sebagai sumber tanaman komoditi yang berpotensi kerana tempoh penanaman dan penuaian hasil yang lebih singkat iaitu tiga tahun.

45. Di samping itu, pertumbuhan buluh akan berterusan sepanjang tahun di mana tunas-tunas baru akan sentiasa tumbuh selepas ditanam. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan modal pengusaha dalam mengusahakan ladang buluh.

46. Melalui dasar baharu, penggunaan buluh dapat dipelbagaikan seperti pemasangan di kawasan lantai, malahan ia mendapat sambutan positif daripada Amerika Syarikat dan Jepun bagi produk bakul, kayu penyepit (chopstick), pencungkil gigi, lidi sate, buluh lemang dan layang-layang serta buluh juga berpotensi untuk dijadikan pelbagai perabot yang setanding dengan produk kayu.

47. Dianggarkan terdapat 100 buah kilang buluh di seluruh Malaysia dan barangan yang dihasilkan telah dipasarkan dalam negeri dan juga dieksport. Saya melihat bahawa industri buluh di Malaysia mempunyai potensi yang amat baik untuk dimajukan jika sumber buluh yang disediakan berkekalan.

48. Selari dengan hasrat ini, Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) yang dijalankan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) turut melibatkan penanaman lima spesis buluh yang diluluskan di bawah PPLH iaitu Buluh Betung, Buluh Semantan, Buluh Beting, Buluh Beti dan Buluh Hitam.

49. Sehubungan itu, Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2011-2020 yang telah diwujudkan oleh MTIB akan disemak semula bagi meningkatkan industri, berasaskan lima teras strategik iaitu:

a) Penubuhan ladang buluh dan pengurusan sumber alam semula jadi yang mampan.

b) Sumber manusia dan pembangunan modal.

c) Pembangunan produk nilai tambah.

d) Penyelidikan dan pembangunan.

e) Pemasaran, perdagangan dan promosi.

SEKTOR LADA, KOKO, KENAF DAN TEMBAKAU

50. Lada, koko, kenaf dan tembakau juga adalah komoditi penting dan tumpuan diberi kepada pembangunannya, Langkah-langkah diambil bagi tujuan pemantapan Institusi Lembaga Lada Malaysia (MPB) seperti berikut:

a) Mengukuhkan fungsi MPB dalam pembangunan industri lada dan pemasaran produk-produk hiliran, terutamanya pengukuhan jenama Saraspice sebagai produk premium.

b) Bagi meningkatkan keberkesanan pemasaran produk-produk lada, MPB sedang menubuhkan anak syarikat bagi menjalankan aktiviti penghasilan pelbagai produk hiliran antaranya gula-gula, minyak wangi, sos berperisa, dan lain-lain.

51. Bagi sektor koko, kita akan meningkatkan sumbangan hiliran industri koko Malaysia dengan mengenalpasti langkah-langkah strategik untuk merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab coklat di Asia.

52. Manakala bagi sektor kenaf, pemantapan institusi dan operasi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara LKTN) akan diteruskan dan ini termasuk mengukuhkan keberkesanan kos operasi dengan melupuskan aset-aset yang tidak produktif dan menyewa kilang pemprosesan kepada pengusaha berpotensi untuk mempercepatkan pembangunan produk hiliran kenaf.

FOKUS DAN HALA TUJU INDUSTRI AGRIKOMODITI

53. Seperti mana dalam tumpuan fokus utama saya sebagai sasaran KPI atau Petunjuk Prestasi Utama saya sebagai Menteri Industri Utama, antara perkara penting yang diambil kira adalah mengembalikan kegemilangan agensi di bawah Kementerian dengan memberi tumpuan terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk aspek strategik .Antaranya adalah:

a) Penghasilan benih atau klon tahan penyakit dan berhasilan yang tinggi (high yield) untuk peningkatan produktiviti berikutan tanah pertanian yang terhad (limited arable land).

b) Penghasilan reka bentuk ladang dan estet untuk menyokong tanaman integrasi. Sebagai contoh, MPOB telah memperkenalkan sistem tanaman sawit dua baris kembar. Sistem ini dapat meningkatkan penembusan cahaya matahari dan ruang untuk pelaksanaan integrasi tanaman dengan sawit.

c) Dalam aspek ini, R&D perlu memberi tumpuan untuk menggabungkan klon berhasilan tinggi dan reka bentuk baharu ladang/estet bagi mendapatkan hasil yang optimum.

d) Penghasilan kaedah dan pendekatan mekanisasi dan automasi di semua peringkat rantaian nilai yang mendukung Industri 4.0.

e) Di peringkat huluan, reka bentuk ladang/estet perlu disuai dengan peralatan mekanisasi untuk menggalakkan automasi, meningkatkan produktiviti, dan pada masa yang sama dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh.

f) Penghasilan reka bentuk pembungkusan produk yang menarik dan mesra alam dengan menggunakan bahan-bahan mentah yang mampan daripada biomas tanaman agrikomoditi seperti fiber daripada kenaf, batang kelapa sawit (OPT) dan serbuk kayu (sawdust).

g) Tumpuan R&D dalam bidang ini dapat menyokong konsep ‘circular economy’ bagi meningkatkan lagi tahap penggunaan bahan-bahan untuk menghasilkan lebih banyak premium by-products bagi kegunaan domestik dan untuk eksport.

54. Sehubungan itu, kementerian sentiasa membuka peluang kepada pihak swasta dari dalam dan luar negara untuk melabur dalam industri agrikomoditi khususnya yang boleh meningkatkan pengeluaran produk-produk hiliran premium.