faq |  contact |  complaints |sitemap      sawit

KENYATAAN MEDIA

JAWAPAN KEPADA KENYATAAN YB DATO’ SRI NAJIB RAZAK BERTAJUK “NAJIB PUNYA SUSU, MAHATHIR DAPAT NAMA”

1. Malaysia telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan sawit pada 23 November 2015 semasa lawatan rasmi Perdana Menteri China ke Malaysia. MoU tersebut telah ditandatangani oleh YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada masa itu dan HE Wang Yi, Menteri Luar China.

2. MoU tersebut hanyalah berhubung kerjasama antara Malaysia dan China berkaitan kualiti dan keselamatan minyak sawit Malaysia yang dieksport ke China. Kerjasama ini akan memudah cara dagangan sawit Malaysia ke China. Tiada sebarang bentuk komitmen ataupun jaminan daripada Kerajaan China dalam MoU bertarikh 23 November 2015 tersebut untuk meningkatkan pengimportan minyak sawit Malaysia.

3. Di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Kementerian Industri Utama (MPI) telah diminta untuk merundingkan sejumlah tambahan import minyak sawit Malaysia oleh China, dan pada masa yang sama, meneroka peluang-peluang yang boleh diambil oleh Malaysia di bawah inisiatif Belt and Road Forum (BRF).

4. Berikutan itu, MPI telah berunding untuk mendapatkan komitmen pihak China bagi menambah lagi import minyak sawit Malaysia. Hasil rundingan tersebut, pihak China telah bersetuju untuk menambah import minyak sawit Malaysia.

5. Persetujuan ini telah berjaya dimuktamadkan dengan termeterainya Memorandum of Understanding (MoU) on Enhancing Palm Oil Trade and Cooperation antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan China Chamber of Commerce of Import and Export of Foodstuffs, Native Produce and Animal By-Products (CFNA) pada 25 April 2019.

6. MoU ini ditandatangani semasa Mesyuarat Dua Hala antara YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia dan Premier Li Keqiang, Perdana Menteri China. Majlis menandatangani MoU ini disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri China yang diadakan di The Great Hall of the People, Beijing, China.

7. Objektif utama MoU bertarikh 25 April 2019 ini adalah untuk meningkatkan hubungan baik perdagangan agrikomoditi, khususnya dalam sektor minyak sawit antara Malaysia dan China. Ia juga satu usaha yang dijalankan bagi menyambut baik keputusan China untuk meningkatkan import produk berasaskan minyak sawit Malaysia ke China.

8. MoU ini akan meningkatkan tambahan eksport minyak sawit Malaysia ke China dengan jumlah agregat sebanyak 1.9 juta tan bernilai RM4.56 bilion untuk tempoh 5 tahun bermula pada tahun 2019 hingga tahun 2023.

9. Program kerjasama melalui MoU ini membenarkan pembelian terus (direct purchase) minyak sawit dan produk berasaskan sawit antara syarikat-syarikat berkaitan kerajaan China dan syarikat-syarikat pengeksport minyak sawit Malaysia.

10. MoU ini tidak menyekat atau menghadkan eksport minyak sawit Malaysia ke China. Ia adalah sebagai tambahan kepada eksport sawit sedia ada ke China oleh pengeksport-pengeksport Malaysia.

11. MoU ini juga akan membuka peluang baharu kepada Malaysia seperti berikut:

i. Pelaburan modal dalam kilang biobahan api jet (biojet fuel) tidak kurang daripada RM2.06 bilion (USD500 juta) dan lelemak tepu RM206 juta (USD50 juta) tertakluk kepada kebolehupayaan (feasibility) pasaran;

ii. Kerjasama dalam menangani isu perdagangan antaranya dengan menggalakkan penggunaan mata wang China, Renminbi bagi perdagangan minyak sawit, tertakluk kepada kelulusan Bank Negara Malaysia dan sebagainya; dan

iii. Penerokaan bidang dan kerjasama baharu yang berpotensi.

12. MoU bertarikh 25 April 2019 adalah hasil usaha Kerajaan PH untuk meneroka peluang-peluang di bawah inisiatif BRF.

KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
Putrajaya
30 April 2019