faq |  contact |  complaints |sitemap

2019 ksu                                                                                       

Salam hormat dan Salam Sayangi Sawitku,

Selamat berkunjung ke laman web Kementerian Industri Utama (MPI).

Sebagai sebuah kementerian yang telah dipertanggungjawabkan dalam menguruskan agri-komoditi utama negara, MPI sentiasa prihatin terhadap kehendak dan keperluan semasa dalam pengurusan pembangunan kelestarian negara.

Isu kelestarian sentiasa menjadi topik yang diperdebatkan, terutama di peringkat global dalam kalangan negara maju. Malaysia selaku negara membangun dan progresif yang menuju ke arah sebuah negara maju tidak terkecuali dalam hal berkenaan.

MPI mengambil berat dalam hal pembangunan lestari dan memastikan apa sahaja amalan manusia berkaitan penggunaan sumber asli, guna tanah dan alam sekitar secara terancang sentiasa berkekalan tanpa mencetuskan impak buruk kepada manusia, persekitaran dan negara.

Mengikut World Commission On Environmental Development, pembangunan lestari merupakan pembangunan yang memenuhi kehendak dan keperluan generasi masa sekarang tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka.

Inilah yang diberikan tumpuan utama oleh MPI secara konsisten sejak dahulu, sekali gus pandangan pihak tertentu di peringkat domestik dan global khususnya perlu menyedari Malaysia komited dengan pembangunan lestari selari dengan pembangunan dinamik agri-komoditi negara.

Justeru itu, MPI sentiasa memainkan peranan dalam soal pemeliharaan dan pengurusan sumber untuk melindungi atmosfera, memerangi ketandusan hutan, melindungi alam sekitar, memelihara kepelbagaian hidupan dan mengawal pencemaran.

Seiring dengan tumpuan kelestarian, hubung kait antara agri-komoditi dan pertumbuhan ekonomi adalah sangat signifikan antara satu sama dengan yang lain. Secara jelasnya, matlamat untuk mencapai pembangunan agri-komoditi dan kelestarian perlu seimbang.

Menerusi pendekatan itu, visi jangka panjang adalah terarah kepada matlamat jangka masa sederhana dan untuk tindakan jangka masa pendek, di samping perhubungan secara horizontal yang merentasi Bahagian MPI, Agensi dan Majlis supaya terdapat pendekatan koordinasi untuk pembangunan agri-komoditi.

Laman web ini adalah bertujuan untuk menyediakan maklumat berkaitan MPI khususnya mengenai objektif, fungsi dan program kementerian.

Pelawat boleh mengunjungi laman web interaktif ini untuk mendapatkan maklumat terkini, semasa dan perancangan mengenai MPI, terutamanya berkaitan agri-komoditi. Semoga dengan pengetahuan yang diperolehi akan dapat manfaat bersama serta berkeupayaan mencipta satu idea dan pandangan bernas dalam kalangan pelawat laman web MPI.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ribuan penghargaan dan terima kasih di atas sokongan yang diberikan dan berharap MPI bersama-sama mengecapi kejayaan unggul dalam memperkasakan pembaharuan dan inisiatif baharu agri-komoditi negara.

YBhg Dato’ Dr. Tan Yew Chong
Ketua Setiausaha
Kementerian Industri Utama